Latar Belakang

SENARAI RACUN MAKHLUK PEROSAK TIDAK BERDAFTAR, HARAM DAN TIRUAN

Racun makhluk perosak (RMP) tidak berdaftar ialah RMP yang di dalamnya mengandungi perawis aktif yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama, Akta Racun Makhluk Perosak (ARMP) 1974 tetapi tidak didaftarkan dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak bagi tujuan untuk dikilangkan, diimport, dijual dan digunakan di negara ini.

Racun makhluk perosak haram ialah RMP yang di dalamnya mengandungi perawis aktif yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Racun Makhluk Perosak 1974 tetapi telah diharamkan penggunaannya di negara ini atas sebab-sebab seperti ketoksidan kepada pengguna, mencemarkan alamsekitar, berbahaya kepada organisma berfaedah, kesan karsinogenik dan sebagainya. Contoh RMP yang diharamkan ialah paraquat dichloride, profenofos, prothiofos, quinalphos, fentin acetate dan lain-lain (sila rujuk senarai RMP yang diharamkan).

Racun makhluk perosak tiruan ialah RMP yang didaftarkan di negara ini tetapi nama dagangannya telah digunakan oleh pihak lain bagi tujuan untuk menipu dan mengaut keuntungan dengan menggunakan jenama yang terkenal. RMP ini mungkin mempunyai perawis aktif yang sama atau berlainan daripada jenama yang sebenar.

KESALAHAN DAN DENDA BERKAITAN RMP TIDAK BERDAFTAR, HARAM DAN TIRUAN

Seksyen 20 (3) - Tiada seorang pun, sama ada dia seorang yang diberi lesen atau tidak di bawah ARMP 1974, boleh menjual atau menyimpan untuk jualan sesuatu racun makhluk yang salah jenama atau yang pada masa ini tidak didaftarkan di bawah Akta ini.

Seksyen 20 (4) - Seseorang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan kali pertama, dipenjara selama tiga tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit dan, apabila disabitkan kali kedua atau kemudiannya, dipenjara selama enam tahun atau didenda dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Seksyen 53A (1)(a) - memiliki atau menggunakan racun makhluk perosak yang pada masa ini tidak didaftarkan di bawah Akta ini.

Seksyen 53A (2) - Mana-mana orang yang melanggar subseksyen(1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan kali pertama, dipenjarakan satu tahun atau didenda sepuluh ribu ringgit dan, apabila disabitkan kali kedua atau kemudiannya, dipenjara selama tiga tahun atau didenda dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Racun makhluk perosak salah jenama ialah merujuk kepada RMP tidak berdaftar.