Bahagian Kawalan Racun Perosak
Pesticide Control Division

Latar Belakang
Background

Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Pindaan 2004) adalah Akta yang digubal dengan tujuan mengawal penggunaan, pengimportan, pengilangan, penjualan dan pengiklanan racun makhluk perosak di negara ini. Secara umum racun makhluk perosak ditakrifkan sebagai suatu bahan atau campuran atau persediaan yang boleh membunuh, mengawal, menghalang, menghalau, melemah atau melegakan (kerosakan) makhluk-makhluk perosak. Takrifan dari segi perundangan yakni yang terdapat di dalam ARMP pula ialah apa-apa bahan yang mengandungi suatu perawis aktif atau apa-apa persediaan, campuran atau benda yang mengandungi mana-mana satu perawis aktif itu atau lebih sebagai satu daripada juzuknya. Perawis aktif pula ialah perawis-perawis yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ARMP.

Bagi pemeriksaan di pintu-pintu masuk ke negara ini, biasanya agensi penguatkuasa seperti Kastam menentukan samada sesuatu barang itu racun makhluk perosak atau tidak hanya berdasarkan kod tarif produk berkenaan. Kod tarif bukanlah panduan yang baik untuk mengenalpasti racun makhluk perosak kerana sesuatu kod tarif dikongsi oleh pelbagai bahan kimia berasaskan struktur molekul manakala racun perosak adalah sifat biologi sesuatu molekul yang tidak semestinya ditentukan oleh struktur molekul. Bahagian Kawalan Racun Perosak menyediakan Pangkalan Data ini (Jadual Pertama akta Racun Makhluk Perosak 1974, Senarai Perawis Aktif ) sebagai satu kemudahan untuk pegawai-pegawai penguatkuasa di pintu-pintu masuk dan pegawai-pegawai di BKRP menentukan samada sesuatu bahan itu di kawal oleh Akta Racun Makhluk Perosak 1974 atau tidak dengan membuat carian menggunakan pangkalan data ini. Carian adalah berasaskan nama biasa, nama kimia, Nombor Pendaftaran CAS, jenis penggunaan dan Kod Tarif. Cara yang paling baik untuk membuat carian adalah menggunakan No. Pendaftaran CAS. No. Pendaftaran CAS adalah identiti berbentuk gabungan nombor yang unik diberikan oleh Chemical Abstract Service yang berpengkalan di Amerika Syarikat kepada bahan-bahan kimia. No. Pendaftaran CAS ini digunakan dengan meluas di dunia terutama dalam perdagangan bahan-bahan kimia. Gabungan nombor yang diberikan kepada sesuatu bahan kimia tiada kaitan langsung dengan struktur dan sifat-sifat kimia malah ia diberikan mengikut urutan yang dahulu didahulukan yang kemudian dikemudiankan.

Selain pegawai-pegawai penguatkuasa di pintu-pintu masuk dan pegawai-pegawai di BKRP pangkalan data ini juga boleh digunakan oleh pihak industri bagi menentukan kod tarif untuk racun-racun makhluk perosak yang akan dieksport atau diimport.

Pangkalan data ini menyenarai lebih kurang 2000 perawis dan mengandungi maklumat kod tarif untuk setiap perawis aktif yang mana kod ini akan digunakan untuk bahan-bahan teknikal racun makhluk perosak. Kod Tarif produk-produk yang telah dirumuskan untuk dipasarkan terus kepada pengguna juga turut disediakan. Kod tarif yang digunakan dalam pangkalan data ini adalah berasaskan Perintah Duti Kastam 2017.

Bahagian Kawalan Racun Perosak, Jabatan Pertanian Malaysia. Semua Hak Terpelihara © 2024
Pesticide Control Division, Department of Agriculture Malaysia. Copyright Reserved © 2024